16 Ogos 2019 - 17:29
Siasatan Keganasan Kulit Putih Dikritik

Tragedi berdarah di Christchurch yang me­ngorbankan 51 nyawa menjadikan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sebagai ‘bintang’ dalam media sosial dan dipuji oleh rakyat seluruh dunia atas sikap to­leransi beliau kepada keluarga mangsa dan umat Islam di negara ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tragedi berdarah di Christchurch yang me­ngorbankan 51 nyawa menjadikan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sebagai ‘bintang’ dalam media sosial dan dipuji oleh rakyat seluruh dunia atas sikap to­leransi beliau kepada keluarga mangsa dan umat Islam di negara ini.

Bukan itu sahaja, imej berselendang Ardern ketika berjumpa dengan komuniti Islam di Christchurch juga tular sehingga menarik perhatian Muslim seluruh dunia.

Namun setelah beberapa bulan berlakunya insiden itu, New Zealand kini dihujani pelbagai kritikan berikutan prosedur undang-undang dan pengendalian siasatan kerajaan membabitkan soal Islam yang terlalu panjang.

Reuters melaporkan, penduduk Islam yang hanya membentuk kira-kira satu peratus daripada keseluruhan populasi masyarakat New Zealand itu mungkin meng­akibatkan negara ini kurang berpengalaman dalam ‘mengupas’ keperluan umat Islam.

Keganasan skala besar yang ‘menggoncang’ negara pada Mac lalu itu kini menuntut New Zealand memberi keadilan segera kepada penduduk Islam.

Seorang pakar perundangan dan juga Pengerusi Rangkaian Kepimpinan Khadija, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita Islam New Zealand, Pakeeza Rasheed berkata, kerajaan gagal berhubung secara terus dengan penduduk Islam yang masih lagi diselubungi perasaan trauma dan bimbang ekoran insiden itu.

Menurutnya, sejak peringkat awal lagi, kerajaan dilihat mengambil masa yang terlalu lama untuk melakukan urusan pengecaman dan ekoran itu pro­ses pengebumian jenazah mangsa juga terpaksa dilambatkan, sekali gus bercanggah dengan tuntutan Islam.

Insiden itu mencetuskan pelbagai persoalan mengenai keberkesanan serta keseriusan perkhid­matan perisikan negara terhadap sera­ngan pengganas kulit putih atau mereka hanya bertumpu kepada ekstremisme Islam sahaja.

Sebagai menjawab persoalan itu, Ardern mengumumkan Suruhanjaya Diraja sedang melakukan kajian dan badan itu akan menjawab semua persoalan yang di­timbulkan.

Dalam pada itu, tinjauan yang dilakukan Reuters terhadap enam aktivis hak asasi manusia dan penduduk Islam sebelum ini menyifatkan mereka ragu-ragu de­ngan proses tersebut.

Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia New Zealand, Paul Hunt menggesa suruhanjaya itu supaya meningkatkan penglibatan masyarakat Islam dan tidak spesifik mengikut keperluan.

Perkara yang sama dikongsi oleh bekas pesuruhjaya hubu­ngan kaum, Joris De Bres yang memberitahu, umat Islam di negara ini seolah-olah dianaktirikan.

Malah beliau menyatakan keraguan terhadap tahap kerahsiaan badan ter­sebut.